Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calitan dalam rongga hidung, tekak tidak batalkan puasa

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Ujian dengan melakukan calitan di dalam rongga hidung dan belakang anak tekak individu bagi menyaring Covid-19 tidak membatalkan puasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli, yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah memasukkan peralatan khusus ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati tidak membawa gambaran sebagai makan (mengenyangkan) dan minum (menghilangkan dahaga) sehingga membatalkan puasa.

Beliau berkata dari sudut syarak, ujian seperti itu mempunyai kelonggaran dalam Islam kerana mengambil kira aspek kesihatan seseorang.

“Ujian Covid-19 telah diberi pandangan dalam (Jawatankuasa) Fatwa Majlis Kebangsaan pada minggu lepas dan mereka semua bersetuju bahawa kaedah ujian swab yang digunakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak membatalkan puasa.

“Walaupun masuk (rongga hidung dan mulut), ada membahaskan ia bukan (sehingga) dalam perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak. Ia sekadar (masuk) panjang sejengkal dan lebih sikit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, bagi pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19 yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin atau di rumah, Zulkifli berkata kewajipan berpuasa bergantung kepada kesihatan pesakit dan arahan KKM.

“Dalam hal ini, kita kena lihat apakah sebenarnya arahan KKM kepada PUI itu. Adakah sukatan minum, makan ubat ataupun suntikan itu berjadual dan tidak boleh dielakkan? Adakah dia perlu dimasukkan air dalam badan atau seumpamanya.

“Semua ini kita kena tengok apa yang diputuskan KKM. Oleh sebab itu, kalau prosedur disebabkan perlu makan, minum ubat dan sebagainya, maka dia diharuskan berbuka puasa,” katanya yang turut menjelaskan hendaklah pesakit itu qada puasa apabila sudah sembuh kelak.

– BERNAMA


Pengarang :