Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS ketika lawatan media pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 107 pusat kuarantin tempatkan rakyat Malaysia kini beroperasi

SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak 107 daripada 551 pusat kuarantin yang diwarta kerajaan kini beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu susulan terdapat kekeliruan sebelum ini berhubung kapasiti pusat kuarantin di seluruh negara.

“Semalam media melaporkan sebanyak 90 pusat kuarantin dibuka untuk menampung 40,000 rakyat…tidak betul…551 pusat kuarantin diwartakan oleh kerajaan dan mampu mengawal lebih 40,000 individu yang dihantar ke sana.

“Sehingga kini sebanyak 107 pusat kuarantin sudah beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan semua individu yang memasuki negara terutama melalui laluan udara perlu dibawa ke pusat kuarantin sebagai langkah mengawal penularan Covid-19.

Sementara itu, mengulas aduan kenaikan mendadak beberapa harga barangan, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau perkara tersebut.

“Langkah ini bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya tatkala rakyat sedang susah. Jika perkara ini berlaku (kenaikan), maklumkan segera kepada KPDNHEP supaya tindakan tegas boleh diambil,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bekalan makanan di negara ini mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April.


Pengarang :