Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 113 pesakit pulih, 153 kes baharu

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 113 pesakit pulih dan tiga lagi kematian akibat Covid-19 hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 153 kes positif baharu dilaporkan menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 4,683.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 2,108 iaitu 45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes positif sehingga hari ini pula adalah 4,683 dengan 66 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kematian adalah 76 kes.

Berikut senarai kes kematian hari ini:

– Kes kematian ke-74 (kes ke-4,531) merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 54 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan pada 11 April dan disahkan meninggal dunia hari ini jam 1.50 pagi.

– Kes kematian ke-75 (kes ke-3,469) merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 90 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau dirawat di Hospital Taiping, Perak pada 1 April dan disahkan meninggal dunia pada hari ini jam 5.23 pagi.

– Kes kematian ke-76 (kes ke-4,314) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada hari ini jam 7.36 pagi.


Pengarang :