Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memeriksa suhu badan lapan jemaah tabligh dari Makassar dan Jakarta yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour pada 26 Mac 2020 sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 24,996 jemaah tabligh sudah disaring

SHAH ALAM, 10 APRIL: Sejumlah 24,996 orang daripada kluster perhimpunan Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur sudah disaring petugas kesihatan sehingga jam 12 tengah hari tadi, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Kenyataan menerusi Twitter itu memaklumkan, daripada jumlah berkenaan, 1,720 peserta tabligh disahkan positif Covid-19 manakala 18,176 didapati negatif dan 2,620 masih menunggu keputusan.

KKM turut memaklumkan, kluster berkenaan telah menyebabkan penularan wabak sehingga generasi kelima iaitu melibatkan 715 kes bagi generasi pertama, generasi kedua (206), generasi ketiga (19) manakala generasi keempat dan kelima masing-masing tujuh kes.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 118 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan mangsa dijangkiti meningkat kepada 4,346 kes.


Pengarang :