Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 28 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 57 kes baharu, 25 daripadanya kes import

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 57 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 25 daripadanya melibatkan kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia mencatatkan keseluruha 6,002 kes tetapi 4,171 daripadanya (bersamaan 69.5 peratus) telah pulih dan dibenarkan keluar wad.

“Hari ini sebanyak 84 kes lagi telah pulih manakala sebanyak 1,729 kes sedang dirawat. Seramai 36 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kematian hari ini menjadikan 102 kes kematian direkodkan di negara ini.

“Kes kematian ke-101 (kes ke-4657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah. Kes kematian ke-102 (kes ke-5282) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi,” katanya.

Semalam Malaysia merekodkan 94 kes baharu Covid-19, dengan 72 daripadanya kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang dari 100 sejak 17 April lalu. Kementerian Kesihatan Malaysia menyasarkan jumlah kes harian Covid-19 turun kepada satu angka pertengahan Mei ini.


Pengarang :