Anggota polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Cheras-Kajang, Kajang pada 15 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 85 kes baharu, jumlah harian paling rendah sejak PKP

SHAH ALAM, 15 APRIL: Selepas empat minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jumlah harian kes Covid-19 mencatat rekod paling rendah hari ini.

Sebanyak 85 kes baharu diumumkan, jumlah pertama bawah 100 kes sejak PKP diperkenalkan pada 18 Mac lalu, dalam sidang media harian ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baik itu susulan keberkesanan dua fasa awal PKP termasuk PKP Diperketatkan (PKPD), yang dikuatkuasakan 27 Mac lalu.

“Memang kita nampak tambahan kes dua hingga tiga hari lepas sebab kita laksana PKPD dan dapat mengesan kes aktif. Justeru, ia bukan kegagalan tetapi satu kejayaan untuk masuk ke kawasan yang disyaki terdapat kenaikan kes mendadak.

“Apabila kita berjaya mengesan bermakna ada pertambahan kes aktif di kawasan ini dan (kes aktif) dijangka ada pertambahan, bagaimanapun tidak banyak iaitu lebih kurang 190 hingga 200 lebih (kes),” katanya di Putrajaya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan memberi tumpuan terhadap kes yang berpunca daripada kluster baharu termasuk beberapa lokasi dan kumpulan sasar.

“Laporan di setiap negeri semakin berkurang contohnya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu, tetapi kita akan beri tumpuan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan memandangkan ada 28 kluster kecil setakat ini,” katanya.

Jumlah harian paling rendah sebelum ini adalah 106 kes (pada 24 Mac) dan jumlah tertinggi pula 235 kes (26 Mac).

Fasa ketiga PKP yang bermula hari ini berakhir pada 28 April. Namun kerajaan membayangkan perintah ini boleh berlanjutan jika wabak sejagat ini gagal dibendung.

Sumber Grafik: BERNAMA

Pengarang :