AGENDANASIONAL

Covid-19: Aplikasi MySejahtera bantu pengguna nilai kesihatan sendiri

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan membangunkan aplikasi MySejahtera bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan sendiri.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan aplikasi berkenaan membantu pengguna mendapatkan maklumat lokasi fasiliti kesihatan berdekatan untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan Covid-19.

“Aplikasi ini boleh menilai tahap kesihatan terhadap risiko Covid-19 untuk anda dan keluarga malah pengguna akan menerima maklumat terkini serta panduan daripada sumber sahih.

“Pengguna juga boleh mendapatkan panduan tindakan yang perlu diambil berdasarkan kategori risiko Covid-19,” menurut perkongsian SKMM di Twitter hari ini.

Aplikasi ini dibangunkan melalui kerjasama strategik Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta SKMM.

Peranti yang menyokong aplikasi MySejahtera adalah peranti menggunakan sistem operasi Android versi 4.4 dan iOS 11 ke atas.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini secara percuma di Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.


Pengarang :