Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Belanja di pasar Fama terhad 20 minit seorang

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Pengunjung pusat jualan barangan segar terkawal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) seluruh negara perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dengan masa berbelanja dibenarkan tidak melebihi 20 minit.

Selain itu, pengunjung perlu melepasi saringan suhu, menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum keluar dari pusat jualan, beratur pada jarak semeter antara satu sama lain dan masuk ke kawasan parkir kereta yang telah ditetapkan.

“Dalam pematuhan pencegahan wabak Covid-19 di 97 lokasi pusat jualan itu, jarak sosial di antara gerai dilakukan dan pintu masuk serta keluar dikawal selia pihak berkuasa,” menurut Fama dalam kenyataan semalam.

Urusan jual beli juga dinasihatkan dibuat secara dalam talian dan tanpa tunai melalui pembayaran QR Pay dan e-dompet bagi membendung penularan Covid-19 melalui wang kertas.

Fama turut memfokus kepada pengedaran bekalan makanan yang berkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan memperkemaskan lagi konsep jualan secara dalam talian melalui portal Agrobazaar ‘online dan offline’ menerusi rangkaian pemasaran terpilih.

Pelanggan digalakkan melayari portal Agrobazaar di www.agrobazaar.com.my untuk pesanan awal atau WhatsApp secara prapesanan dan membayar terus secara dalam talian bagi memudahkan urusan pengambilan di ‘pick-up point’ dan urusan pandu lalu di rangkaian pemasaran terpilih.

Bagi pengguna yang membuat prapesanan melalui portal atau media sosial, waktu pesanan dibuka dari 8 pagi hingga 4 petang dan penghantaran dibuat pada hari berikutnya.

– BERNAMA


Pengarang :