(Gambar hiasan) Kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok Siti Samihah Mohd Zain, 33, melakukan kerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Covid-19: Cabaran ibu berkerjaya sepanjang perintah kawalan

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: “Saya rasa dah jadi macam tarzan sepanjang kerja dari rumah sebab tak berhenti menjerit. Kita baru buka laptop, anak-anak mulalah berebut nak tekan itulah, nak tekan inilah, macam mana nak habiskan.

“Saya tahu budak-budak manalah faham. Lebih-lebih lagi kalau benda seperti laptop mereka sukalah. Cakap baik-baik pun, datang kacau. Suruh main dengan ayah, mereka pergi tapi sekejap saja mereka dengar.

“Sekali dua, cubalah bersabar sebab faham mereka inginkan perhatian. Tapi, lama-kelamaan saya pun mulalah naik angin sebab banyak kertas cadangan nak kena siapkan awal tahun ni,” cerita penjawat awam bernama Nurul Iman Zarif, 37, dalam perbualan telefon dengan Bernama.

Berkongsi pengalaman pertama kali bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ibu kepada dua orang, masing-masing berumur 8 dan tiga tahun, mengeluh agak sukar untuk dirinya untuk fokus menyiapkan tugasan pejabat.

Ini kerana Nurul Iman juga perlu memasak lebih kerap dan dalam masa yang sama, perlu melakukan kerja rumah yang lain. Bertambah lagi dengan kehadiran anak-anaknya kerana sekolah dan tadika ditutup.

“Perlu fokus betul-betul untuk siapkan kertas cadangan ini kerana ia berkaitan strategi penguatkuasaan. Secara jujur, konsentrasi buat kerja pejabat di rumah hanya 1 hingga 2 jam saja kemudian memang kena berhenti sekejap.

“Anak yang seorang datang kata lapar. Seorang lagi minta susu, minta buah. Mereka ni sekejap-sekejap makan, mungkin tengah membesar,” katanya, jelas kedengaran keriuhan suara anak-anaknya itu.

Memang memeningkan kepala apabila kedua-dua orang anaknya bergaduh dan masing-masing akan datang mengadu kepada Nurul Iman, sekali gus betul-betul menguji kesabarannya.

“Kerja dari rumah lagi letih sebab hendak uruskan banyak perkara. Ayahnya membantu tetapi budak-budak tetap nak berkepit dengan ibunya.

“Mereka yang ada orang gaji mungkin tak ada masalah. Tetapi, dengan keadaan sekarang bahaya Covid-19, kenalah belajar sesuaikan diri bekerja dari rumah,” katanya.

Seorang suri rumah Nurrabia’tul Adawiyah Mohd Bistamim meluangkan masa bersama anak-anaknya ketika tinjauan suasana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di ibu kota pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA

MENCABAR, TEKANAN

Hakikatnya, situasi yang dialami Nurul Iman ini bukanlah dihadapi wanita kelahiran Tapah, Perak ini sahaja. Bahkan, ia mungkin turut menjadi dilema sebahagian besar golongan ibu berkerjaya yang ketika ini bekerja dari rumah susulan penguatkuasaan PKP, antara lain bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menyemak halaman Facebook sendiri, penulius mendapati ada rakan yang mempunyai anak kecil memuat naikkan status dan memberi komen seperti “sekarang dah jadi zombie, agak lagi dua minggu sis jadi tak pontianak”, “ni lagi kena extend, mak pun boleh jadi naga kuasa 7 nanti”, sejurus pengumuman PKP dilanjutkkan sehingga 14 April depan.

Tidak dinafikan, bekerja dari rumah sangat mencabar terutamanya bagi golongan pekerja yang juga bergelar ibu dan mempunyai anak kecil.

Ini kerana ia berpotensi menimbulkan tekanan kepada mereka sekiranya gagal menanganinya secara baik.

Menurut Prof Dr Intan Hashimah Mohd Hashim, Pakar Psikologi Sosial/Positif, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), ini kerana golongan itu berhadapan dengan lebih banyak permintaan, sama ada daripada majikan, anak-anak mahupun suami mereka sendiri.

Paling memberi kesan, apabila para suami tidak saling membantu dan tanggungjawab itu semua dipikul sendirian oleh isteri. Keadaan ini, pastinya akan menambahkan tekanan berikutan faktor keletihan fizikal, mental mahupun emosi.

“Dalam keadaan biasa, kedua-dua tugas ini boleh diselesaikan dalam masa berbeza tetapi pada masa sekarang, ibu-ibu ini perlu menjalankan kedua-dua tugas tersebut secara serentak. Hal ini, pastinya memerlukan banyak tenaga dan penumpuan lebih yang tentunya akan memberikan tekanan berat buat mereka.

“Cabaran juga boleh timbul memandangkan PKP merupakan perkara baharu dan kebanyakan kita belum biasa bekerja dari rumah. Ditambah lagi dengan kebimbangan terhadap situasi semasa yang tidak menentu serta kerisauan mengenai kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

MAJIKAN PERLU FAHAM

Keadaan sebegini mungkin berlaku adalah disebabkan anak-anak menganggap keberadaan ibunya di rumah ditafsirkan sebagai hari cuti seperti sebelumnya dan kerana itu perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

Bagi anak-anak yang masih kecil ini, mereka belum lagi memahami dengan jelas mengenai budaya kerja dari rumah, PKP, Covid-19 dan pastinya situasi ini menyukarkan para ibu untuk memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pejabat.

“Mungkin golongan ibu perlu mencuri masa atau menunggu hingga anak tidur sebelum boleh fokus bekerja tetapi hal ini akan mengganggu pula waktu tidur ibu. Lebih buruk lagi, apabila ibu menjadi terlalu penat dan boleh melakukan kesilapan sehingga berisiko kepada keselamatan diri dan anak-anak,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu ini, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nazariah Shar’ie Janon berkata peringkat umur anak paling mencabar golongan ibu bekerja dari rumah ialah di bawah lima tahun sekiranya suami tidak memberi sokongan dan majikan tidak memahami keadaan yang dihadapi.

Menurut beliau, kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut terutamanya yang berumur tiga tahun begitu menguji kesabaran kerana mereka hanya tidur sekali sahaja sebelah siang, aktif dan suka mencuba benda baharu.

“Umur apa pun anak kita, mereka akan tetap mencari ruang untuk mendapatkan perhatian ibu. Cuma, yang membezakan ialah yang berumur bawah 2 tahun, tidak faham kenapa dia tidak boleh bersama ibu dan memerlukan pemerhatian berterusan serta akan menangis jika berseorangan.

“Mereka ini bagaimanapun memerlukan tidur agak panjang, dua kali sehari. Jadi, ibu boleh mencuri masa bekerja ketika anak tidur,” katanya.

Dalam keadaan sebegini, beliau berkata majikan juga perlu mengambil maklum mengenai keadaan pekerja yang berkeluarga dengan lebih menitikberatkan hasil kerja berbanding pemantauan kakitangan sepanjang masa.

PERANAN SUAMI

Bagi menjayakan konsep bekerja dari rumah, peranan suami juga sangat penting dan tidak boleh dikecualikan untuk sama-sama menguruskan rumah sepanjang tempoh PKP,” kata Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lt Kdr Dr Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B).

Persepsi bahawa kerja rumah adalah 100 peratus di bahu isteri merupakan anggapan konservatif dan sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini. Ini kerana ada isteri bukan suri rumah sepenuh masa tetapi juga bekerja untuk bagi membantu keluarga.

Menurut beliau, pasangan yang melaksanakan tanggungjawab rumahtangga secara keseorangan sama ada suami mahupun isteri secara berterusan akan mengalami keletihan fizikal, mental dan emosi bukan kepalang.

Apabila tahap keletihan memuncak sehingga mencetuskan tekanan yang tidak mampu diuruskan, komunikasi akan terganggu dan pertengkaran antara keduanya lambat-laun pasti akan berlaku.

“Rumahtangga adalah satu institusi kekeluargaan yang menuntut persefahaman, perkongsian, serta sifat tolak ansur daripada semua ahli yang membentuk strukturnya. Pandangan si suami yang menolak tanggungjawab melaksanakan kerja rumah atas tiket sebagai ketua keluarga bukanlah satu pandangan boleh diterima.

“Lagipun, dalam waktu sukar seperti tempoh PKP, semua ahli keluarga -suami, isteri, anak-anak mesti saling menyokong, bekerjasama dan bersatu hati dalam semua urusan rumahtangga bagi memastikan keharmonian institusi dapat dikekalkan,” katanya.

TIPS RUMAHTANGGA

Bagi menangani permasalahan ini, Dr Ku Suhaila Ku Johari, pensyarah kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata antara strategi yang boleh dilakukan adalah membuat jadual perkongsian kerja antara suami dan isteri bagi memastikan semua rutin tugas pejabat dan rumah berjalan lancar.

Selain itu, perlu juga dibuat jadual anak seperti jam berapa makan, waktu rehat yang memerlukan semua anak tidur, masa menonton televisyen, bermain di samping turut mempunyai ruang kerja yang selesa.

“Terdapat beberapa cara boleh dilakukan bagi memahamkan anak mengenai situasi sekarang dengan mengajak mereka sekali menonton berita, menonton filem yang menceritakan tentang penularan virus misalnya. Ketika menonton, kaitkan ia dengan keadaan yang berlaku sekarang.

“Jelaskan juga kepada anak mengapa ibu perlu bekerja dari rumah dan ibu memiliki masa sangat terhad dan mereka perlu memahami.

“Mengambil peluang mengeratkan hubungan bersama keluarga merupakan salah satu saranan atau pun hikmah yang dapat diperolehi sepanjang tempoh ini dan untuk itu ia memerlukan usaha ke arah tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, semua ini hanya boleh dilakukan sekiranya mempunyai pemikiran positif, tegas Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad.

Menurut beliau, individu pada asasnya dilahirkan dengan potensi untuk menjadi seorang yang rasional atau sebaliknya.

Ini bermakna, manusia boleh menentukan sama ada untuk gembira, menyayangi, disayangi dan mendapat kesempurnaan kendiri atau boleh memilih untuk memusnahkan diri mahupun mengelak daripada berkembang.

“Justeru, dalam konteks ini ialah sejauh mana mereka boleh menerima arahan PKP tersebut. Jika mereka menerima secara negatif, maka negatiflah, tetapi, sekiranya positif, maka positiflah jadinya,” jelasnya.

– BERNAMA


Pengarang :