Petugas kesihatan mengambil sampel salah seorang penghuni Selangor Mansion susulan beberapa penghuni disahkan positif Covid-19 pada 7 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Dua pertiga penduduk kawasan PKP Diperketatkan selesai disaring

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya melakukan saringan dan ujian terhadap dua pertiga daripada keseluruhan penduduk di tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) untuk Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tiga kawasan PKPD itu ialah Simpang Renggam, Johor; Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata MOH juga dijangka mengambil masa kira-kira 10 hari untuk melakukan saringan ke atas semua penduduk di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD berkuat kuasa semalam.

“Kami menganggarkan setiap bangunan mempunyai kira-kira 2,500 penduduk untuk diuji dan disaring, jadi dua bangunan ini terdapat dalam 5,000 penduduk.

“Kami sedang melakukan saringan secara aktif dan berharap dalam masa 10 hari (kami boleh) membersihkan kawasan dan mendekontaminasikan serta mensanitasikan kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar harian kementerian mengenai Covid-19 di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada bukti kukuh yang menunjukkan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) mampu mengelakkan jangkitan Covid-19.

Buat masa ini, kajian untuk mencari vaksin Covid-19 giat dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tiada bukti yang kukuh untuk kita katakan bahawa BCG boleh mengelakkan daripada jangkitan Covid-19.

“(Tetapi) Kita harap dalam tempoh satu atau satu tahun setengah lagi (setelah kajian selesai) kita akan dapat vaksin itu di pasaran,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :