Anggota tentera berkawal di hadapan Menara City One pada 1 April 2020 selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Empat zon merah di Selangor catat kenaikan 24 kes

SHAH ALAM, 1 APRIL: Empat daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di Selangor mencatatkan kenaikan kes baharu sebanyak 24, setakat semalam.

Mengikut angka di Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, empat zon merah berkenaan mencatatkan 635 kes dengan pecahan Hulu Langat (265 kes), Petaling (234), Klang (74) dan Gombak (62).

“Bagi yang berada di zon merah, anda perlu meningkatkan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan diri terhindar dari jangkitan Covid-19.

“Amalkan nasihat KKM termasuk cara mencuci tangan menggunakan air dan sabun yang betul, duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial,” kata KKM.

Kawasan Sungai Lui di Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 30 Mac lalu susulan banyak kes di sebuah maahad tahfiz.

Selain kawasan tersebut, kerajaan juga menguatkuasakan PKPD di Simpang Renggam, Johor mulai 27 Mac lalu dan Menara City One, Kuala Lumpur mulai 30 Mac.

Sehingga kini, zon merah di seluruh negara masih kekal 15 lokasi iaitu Lembah Pantai (238 kes), Seremban (119), Johor Bahru (112) dan Kluang (107).

Sementara itu, Kuching merekodkan 97 kes, Kepong (84), Kota Bharu (80), Kinta (77), Titiwangsa (75), Tawau (63) dan Hilir Perak (57).

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.


Pengarang :