Pemandangan udara di sekitar Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam 30 Mac hingga 13 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Hulu Langat catat 324 kes, tertinggi dalam zon merah

SHAH ALAM, 4 APRIL: Hulu Langat mencatatkan 324 kes positif Covid-19 iaitu tertinggi di antara empat daerah di Selangor yang dikategorikan dalam zon merah.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata statistik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sehingga jam 7 malam tadi menunjukkan peningkatan 37 kes berbanding kelmarin, 287 kes.

“Tiga daerah lain termasuk dalam zon merah adalah Petaling yang merekodkan 255 kes, Klang (101) dan Gombak dengan 97 kes.

“Kuala Selangor pula 29 kes, Sepang (33), Hulu Selangor (22), Kuala Langat (19) dan Sabak Bernam (7),” katanya dalam siaran di Twitternya di sini malam tadi.

Pada sidang media semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes Covid-19 di Selangor adalah berkaitan kluster jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Jumlah paling ramai di Hulu Langat ialah di Sungai Lui yang sebahagian dari kawasannya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak 30 Mac lalu sehingga 13 April.

Daripada 90 kes positif di kawasan itu, 25 mempunyai kaitan dengan jemaah tabligh Seri Petaling manakala 65 kontak rapat.


Pengarang :