Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jumlah pesakit pulih dua kali ganda banding kes baharu

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Bilangan pesakit Covid-19 yang dibenar keluar hospital hari ini lebih dua kali ganda berbanding bilangan kes yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 103 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, manakala jumlah kes baharu dilaporkan adalah 50.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenar keluar hospital adalah sebanyak 3,452 kes iaitu 62.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga 22 April pukul 12 tengah hari, terdapat 50 kes baharu dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,532 kes,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai jumlah kes kematian, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes iaitu 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Kes kematian ke-93 (kes ke-5,483) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.

Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April dan disahkan meninggal dunia 9.15 pagi ini.

– BERNAMA


Pengarang :