Petugas kesihatan menunjukkan sampel ujian saringan Covid-19 yang dibuat melalui kaedah pandu lalu di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam pada 20 April lalu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Jumlah pesakit pulih terus atasi kes baharu

SHAH ALAM, 27 APRIL: Jumlah pesakit jangkitan Covid-19 yang sembuh meningkat dua kali ganda berbanding kes baharu yang dilaporkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan 95 pesakit pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 3,957 (67.9 peratus).

“Sehingga 27 April 2020 jam 12 tengah hari, terdapat 40 kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,820 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,764 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 37 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, dengan 17 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat satu lagi kematian membabitkan warga emas berusia 78 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik, yang dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor Bahru.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 99 kes kematian akibat Covid-19.


Pengarang :