Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia memeriksa suhu badan lapan jemaah tabligh dari Makassar dan Jakarta yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour pada 26 Mac 2020 sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes positif kluster himpunan besar meningkat

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kluster tabligh merekodkan pertambahan jumlah kes Covid-19 apabila seramai 25 individu dikesan positif menjadikan keseluruhan 1,682 kes atau 41 peratus setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes turut direkodkan dua lagi kluster yang berkait rapat dengan perhimpunan besar iaitu persidangan keagamaan di sebuah gereja di Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Bagi perhimpunan keagamaan di gereja terdapat tambahan 24 kes berbanding 86 kes semalam menjadikan keseluruhan 110 kes dengan dua kematian.

“Majlis perkahwinan pula terdapat tambahan dua kes positif menjadikan keseluruhan 94 orang dengan 15 sembuh dan discaj manakala empat di Unit Rawatan Intensif (ICU),” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata terdapat pertambahan satu kes bagi kluster kes import dari Itali dengan jumlah 41 kes setakat ini dan lima kematian.

Bagaimanapun hari ini Kementerian Kesihatan mengesan sebuah pecahan kluster (sub-kluster) di Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Sri Petaling apabila 27 individu dikenal pasti positif wabak termasuk dua kes yang dirawat di ICU.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 65 kematian dengan tambahan dua kes manakala 156 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 4,119 kes.


Pengarang :