Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan pada 14 April 2020. Foto Sumber: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Kes pulih dua kali ganda, tiada kematian

SHAH ALAM, 26 APRIL: Malaysia merekodkan bilangan kes discaj Covid-19 dua kali ganda berbanding kes baharu yang dilaporkan apabila 100 pesakit pulih hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes yang pulih sebanyak 3,862 atau 66.8 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sehingga 26 April pukul 12 tengah hari, terdapat 38 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,780 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,820 kes dan mereka telah diasingkan serta dirawat,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tiada pertambahan kes kematian hari ini dan jumlahnya kekal sebanyak 98 kes.

Sehingga kini, seramai 36 kes positif wabak sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 15 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.


Pengarang :