Kakitangan Hospital Pakar KPJ Ampang menyimpan sampel ujian untuk dihantar ke makmal selepas mengendalikan saringan Covid-19 secara pandu lalu pada 9 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kit ujian Korea Selatan bantu tingkat 20,000 saringan sehari

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka dapat menjalankan lebih banyak saringan Covid-19 apabila menerima 200,000 kit ujian pantas dari Korea Selatan pada minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kit itu diharap dapat meningkatkan jumlah ujian bagi mengesan pembawa wabak itu kepada 20,000 saringan satu hari berbanding kira-kira 16,000 pada masa ini.

“Mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya empat hingga lima kes dalam 10 saringan dilakukan maksudnya banyak lagi kes (di kalangan masyarakat) belum dapat dikesan, sekurang-kurangnya kena 10 peratus.

“Kita sememangnya giat menjalankan ujian dan setakat ini 132,361 sampel telah diambil dengan 5,742 disahkan positif atau bersamaan 4.3 peratus iaitu lebih baik berbanding tanda aras ditetapkan WHO,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata walaupun jumlah saringan dilakukan memadai untuk mengesan wabak itu setakat ini namun ia perlu ditingkatkan sebagai usaha berterusan memutuskan rantaiannya.

“Diharapkan dengan penerimaan 200,000 kit dari Korea Selatan itu membolehkan kita menjalankan lebih banyak saringan,” katanya.


Pengarang :