AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM diminta kongsi data klinikal pesakit untuk analisis

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta berkongsi data klinikal pesakit Covid-19 dengan petugas negeri bagi membolehkan analisis dan tindakan bersasar dibuat, kata bekas menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata data tersebut hanya untuk mengesan wabak dan tiada kaitan dengan mencari maklumat peribadi pesakit, lapor Malaysiakini.

“Kami tidak mendapat maklumat klinikal yang sangat penting. Kami tidak mahu identiti pesakit, nombor telefon, atau umur.

“Kami mahukan data mengenai penduduk supaya dapat melakukan analisis berkaitan untuk memperbesarkan zon, bukan hanya daerah,” katanya yang juga ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor.

Setakat semalam, Selangor merekodkan 704 kes jangkitan Covid-19, angka tertinggi di Malaysia dengan tujuh kematian.

Pada 10 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan pasukan khas diketuai Dr Dzulkefly untuk memantau dan mencegah penularan Covid-19.


Pengarang :