AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM kenal pasti bantuan warga emas di pusat jagaan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengenal pasti bantuan kepada warga emas yang tinggal di institusi jagaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham berkata pihaknya prihatin terhadap kesihatan warga emas yang berada di pusat jagaan terutama bagi institusi mempunyai ramai penghuni dan mengalami kesukaran mengamalkan jarak sosial selamat.

“Susulan itu, kementerian bekerjasama rapat dengan KPWKM dengan membangunkan garis panduan untuk pusat jagaan rumah orang tua, awam dan swasta mengenai pandemik Covid-19.

“Pengurusan kesihatan berhubung pencegahan Covid-19 di Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan turut dipantau bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, beliau berkata warga emas digalakkan menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos (UMP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Katanya bekalan ubat bagi penyakit berkaitan boleh dihantar terus ke rumah warga emas berkenaan tanpa memerlukan mereka mengunjungi hospital berdekatan.


Pengarang :