Petugas di stesen minyak Petronas Seksyen 6, Shah Alam membersihkan pintu masuk dengan semburan antiseptik bagi mencegah penularan Covid-19 pada 5 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM perlu uji keberkesanan terowong pembersihan

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menguji keberkesanaan terowong pembersihan untuk mencegah Covid-19, kata ketua pengarahnya.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM terbuka menggunakan segala kaedah dan rawatan baharu, namun kajian perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan alat tersebut.

“Di KKM, kita berdasarkan fakta, jadi kita perlu lihat penyelidikan untuk tunjukkan sama ada ia berkesan atau tidak, apakah bahan kimia yang digunakan dan pelbagai lagi.

“Inovasi ini baik tapi perlu ada penyelidikan mengenainya, bermakna kita perlukan fakta dan bukti,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiada laporan menunjukkan Covid-19 boleh merebak melalui makanan.

“Kita belum dengar virus ini merebak melalui makanan tetapi jika salah seorang pekerja didapati positif, kita perlu saring kontak rapat di restoran itu,” katanya.

Hari ini, perkhidmatan jualan makanan Ikea Tebrau ditutup sementara selepas seorang daripada pekerjanya didapati positif Covid-19.


Pengarang :