Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditemui media selepas tinjauan sekatan jalan raya oleh anggota polis di Kampung Sungai Lui, Batu 21, Hulu Langat pada 30 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Lokap polis dibersih kekang penularan

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Polis mengambil langkah melaksanakan proses pembersihan di semua lokap di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis daerah agar proses pembersihaan di setiap lokap dijalankan setiap hari.

“Polis sentiasa laksana tugas dengan mengambil kira hak asasi manusia dan semua pihak perlu faham akan tugas polis,” katanya di Bukit Aman di sini.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata setakat ini, 33 anggota pasukan keselamatan itu disahkan positif Covid-19, manakala kira-kira 750 ahli keluarga mereka diarahkan untuk dikuarantin.

“Seorang pegawai  meninggal dunia akibat wabak Covid-19, dan ada yang dijangkiti kerana pergi ke luar negara serta dijangkiti daripada kluster ahli tabligh,” katanya.

Abdul Hamid juga menjelaskan semua anggota yang bertugas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarahkan memakai penutup hidung dan mulut serta mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Tatacara operasi piawai (SOP) di sekatan jalan raya sudah ada, antaranya anggota bertugas tidak dibenarkan pegang kereta ketika bertanya serta digalakkan untuk kerap mencuci tangan,” katanya.

Ketua Polis Negara juga meminta orang ramai mematuhi PKP bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan, sekali gus membolehkan keadaan negara kembali pulih.

“PKP ini dilaksana bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi demi untuk keselamatan, dan semua pihak diminta faham serta patuh arahan PKP,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :