Seorang pengawal keselamatan bangunan mengimbas pekerja dan pelawat dengan menggunakan alat pengesan suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah Covid-19 di Jakarta pada 13 Mac 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Pembatasan sosial lebih ketat di Jakarta sehingga 23 April

JAKARTA, 10 APRIL: Perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta diperketatkan lagi bermula hari ini sehingga 23 April, bagi mengekang pandemik Covid-19.

Antara arahan baharu berkaitan PSBB itu ialah penunggang motosikal perkhidmatan pengangkutan dalam talian seperti Gojek dan Grab, tidak lagi dibenarkan membawa penumpang.

Tiada angka tepat, namun dianggarkan terdapat lebih 1.2 juta pemandu perkhidmatan pengangkutan dalam talian di Jakarta dan kota sekitarnya, dan bermula hari ini hanya boleh menjalankan perkhidmatan penghantaran barang atau makanan sahaja.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam satu kenyataan berkata, bermula hari ini juga, pengangkutan awam dan persendirian dibataskan jumlah penumpang tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti jumlah penumpang kenderaan itu.

Orang ramai juga tidak lagi dibenarkan makan atau minum di restoran atau kedai makan, dan mereka hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja.

Mereka yang berada di luar rumah juga diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung, manakala penunggang motosikal persendirian atau perkhidmatan pengangkutan dalam talian, diwajibkan juga memakai sarung tangan.

Mereka yang ingkar arahan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum Rp100 juta (hampir RM30,000) dan hukuman penjara maksimum satu tahun.

Kes kematian akibat pandemik COVID-19 di Indonesia setakat semalam meningkat kepada 280 kes, dengan jumlah tertinggi kematian berlaku di Jakarta iaitu 142 kes.

Meskipun tiada larangan keluar rumah, Kota Jakarta serta kota-kota berhampirannya yang berpenduduk lebih 30 juta orang itu, tetapi ia “sepi” sejak 16 Mac lepas, selepas beberapa langkah secara berperingkat-peringkat dilaksanakan seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, pusat hiburan serta arahan bekerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal, larangan berhimpun atau berkumpul, pembatasan penggunaan pengangkutan awam, selain kempen “duduk di rumah”.

-BERNAMA


Pengarang :