Petugas kesihatan menunjukkan sampel yang diambil ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara pandu lalu hasil inisiatif Kerajaan Negeri bersama Klinik Selcare dan dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah dilakukan di Seksyen 7, Shah Alam pada 18 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Pesakit baharu 71 kes hari ini, bilangan konsisten dua angka

PUTRAJAYA, 23 APRIL: Malaysia menyaksikan bilangan kes positif Covid-19 secara harian yang konsisten iaitu pada kadar dua angka dalam tempoh tujuh hari berturut-turut dan pada masa sama mencatat dua lagi kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 71 kes baharu yang telah dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes kumulatif kini sebanyak 5,603 kes.

Beliau berkata sebanyak 90 kes Covid-19 telah pulih dan dibenar keluar wad hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenar keluar wad adalah sebanyak 3,542 kes.

“Seperti trend yang dilihat kebelakangan ini, bilangan kes yang dibenar keluar hospital ini adalah melebihi bilangan kes yang dilaporkan.

“Terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 95 kes iaitu 1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang daripada 100 kes sejak 17 April lepas iaitu sebanyak 69 kes, dan kes pada paras dua angka itu kekal sehingga kini dengan 54 kes (18 April), 84 kes (19 April), 36 kes (20 April), 57 kes (21 April) dan 50 kes (22 April).

Beliau juga berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,966 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 42 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 21 kes memerlukan bantuan pernafasan.

– BERNAMA


Pengarang :