Petugas memeriksa suhu badan seorang lelaki di hadapan kapal Splendid yang akan digunakan sebagai hospital untuk pesakit Covid-19 di Genoa, Itali pada 20 Mac 2020. Foto Reuters
AGENDAGLOBAL

Covid-19 ragut 73,139 nyawa seluruh dunia, lebih sejuta positif

PARIS: Sebanyak 73,139 kematian direkodkan di seluruh dunia akibat Covid-19 sehingga hari ini dengan jumlah tertinggi dicatat di benua Eropah.

Eropah mencatatkan 696,110 kes dan 52,498 kematian, Amerika Syarikat dan Kanada 363,501 kes dengan 10,728 kematian; Asia 121,355 kes dan 4,265 kematian manakala Asia Barat pula 79,747 kes dan 3,948 kematian, lapor AFP.

Sementara itu, Amerika Latin dan Caribbean 33,819 kes dengan 1,188 kematian; Afrika 9,457 kes dengan 467 kematian dan Oceania 6,941 kes dengan 45 kematian.

Itali mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 16,523 diikuti Sepanyol (10,389), Perancis (8,911), Britain (5,733) dan China (3,331).

Slovakia mengumumkan kematian pertama berkaitan Covid-19 pada Ahad lalu.

Data direkodkan pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu juga menunjukkan lebih 1,310,930 jangkitan direkodkan di 191 negara dan wilayah sejak pandemik wabak itu muncul di China pada Disember lalu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 249,700 sudah kembali pulih sepenuhnya daripada jumlah keseluruhan kes.


Pengarang :