Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 4 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Rakyat Malaysia dari luar negara boleh cetus gelombang ketiga

SHAH ALAM, 4 APRIL: Individu yang pulang dari luar negara berupaya mencetuskan gelombang ketiga Covid-19 jika tidak ditangani dengan baik, kata ketua pengarah kesihatan.

Justeru, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan kerajaan supaya menempatkan kumpulan itu sama ada melalui pintu masuk darat, laut atau air di pusat kuarantin.

“Kalau ikut maklumat sedia ada termasuk menerusi Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, jumlah kemasukan mungkin sekitar 8,000 orang.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan perangkaan lebih daripada itu kerana turut membabitkan penuntut Malaysia yang pulang ke tanah air, sekali gus mengundang risiko kes import Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan gelombang pertama Covid-19 di Malaysia melalui pelancong China, manakala gelombang kedua adalah kes import.

KKM hari ini memaklumkan jumlah kematian meningkat kepada 57 orang dengan 150 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 3,483 kes.

Seramai 99 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi, sementara 915 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.


Pengarang :