Petugas Kementerian Kesihatan membawa seorang penghuni Menara City One dengan ambulans di pekarangan kondominium berkenaan untuk menjalani saringan Covid-19 pada 16 April. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Ramai warga asing positif di kawasan perintah kawalan diperketatkan

SHAH ALAM, 26 APRIL: Seramai 638 orang didapati positif Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan 388 kes daripadanya adalah warga asing dan bakinya penduduk tempatan, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata seramai 21,466 orang di kawasan PKPD sudah jalani saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 12 tengah hari tadi.

“Ini menunjukkan bahawa aktiviti pendekatan tertumpu yang diambil kerajaan setakat ini telah menunjukkan hasil diharapkan bagi mengekang penularan dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

“KKM menjangkakan lebih banyak kes positif akan dikenal pasti dalam masa terdekat memandangkan aktiviti pendekatan tertumpu ini masih diteruskan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Kes baharu di kawasan PKPD menunjukkan peningkatan dengan satu kes di Menara City One Plaza, lima kes di Malayan Mansion sementara sembilan kes di Pusat Bandar Utara serta sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Bagi aktiviti tertumpu di madrasah atau sekolah tahfiz pula seramai 6,229 orang pelajar, guru dan kakitangan telah menjalani ujian Covid-19 dengan 341 orang didapati positif sehingga semalam.

Setakat 24 April pula, seramai 12,672 orang telah menjalani saringan dengan 139 orang yang dikuarantin wajib disahkan positif wabak itu selepas pulang dari luar negara.

Antara negara yang dilawati adalah Indonesia (99 kes), United Kingdom (14 kes), Singapura (13 kes), Turki (lima), Belanda (tiga), Amerika Syarikat (dua) manakala satu kes masing-masing melawat Thailand, Perancis dan Bangladesh.


Pengarang :