Pasukan petugas perubatan menjalankan saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMA

Covid-19: Saring rumah ke rumah perlu diteruskan ke zon merah lain

BANGI, 12 APRIL: Saringan besar-besaran Covid-19 dari rumah ke rumah yang dijalankan Kerajaan Selangor sejak semalam perlu diteruskan ke zon merah lain bagi memerangi wabak itu.

Noor Hisham Mohd Ghouth yang mengetuai proses itu berkata tindakan sedemikian perlu berikutan Selangor ada lebih 100 titik merah berdasarkan petunjuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Malah, ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan Selgate Corporation ketika ditemui di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di sini hari ini turut mencadangkan pendekatan tersebut diperluaskan ke seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth bercakap kepada media ketika operasi saringan Covid-19 besar-besaran di kawasan zon merah seluruh Selangor pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya berharap supaya inisiatif Kerajaan Selangor ini bukan sahaja diteruskan ke seluruh negeri tetapi diperluaskan seluruh negara memandangkan kita perlu berusaha lebih keras untuk memutuskan rantaian wabak.

“Kita tidak mahu virus berkenaan menular dalam kalangan masyarakat kerana ada antara mereka yang tidak sedar yang Covid-19 sudahpun berada pada mereka,” katanya.

Hadir sama CEO Selgate Healthcare Dr Muaz Omar, Ketua Pegawai Operasi Selcare Clinic Mahdzir Ibrahim dan Pengarah Selcare Management Muhammad Azfizam Hamzah.

Mengenai saringan hari ini dan semalam, beliau berkata operasi ditumpukan kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas di sekitar Hulu Langat.

Saringan itu dijalankan 48 petugas sukarelawan Selcare Clinic, sebuah anak syarikat Kumpulan Selgate Corporation, yang terdiri daripada doktor, jururawat dan pembantu perubatan.

Pasukan petugas perubatan menjalankan saringan Covid-19 dari rumah ke rumah di Hulu Langat, pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pasukan dinamai Petugas Gerakan Operasi Saringan Komuniti Covid-19 Kerajaan Selangor (Selcare) sehingga kini menyaring lebih 500 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Kajang dan Dusun Tua.

Pada 8 April, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan saringan besar-besaran di zon merah bagi memerangi wabak berkenaan dengan menyasarkan ujian terhadap 5,000 orang.

Sehingga ‪jam 6‬ petang semalam, kes positif Covid-19 di Hulu Langat merekodkan 382 kes, Petaling (338), Klang (163), Gombak (124), Sepang (56), Hulu Selangor (43), Kuala Selangor (29), Kuala Langat (26) dan Sabak Bernam (19).


Pengarang :