Ambulans dan kenderaan yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia diparkir di kawasan sekatan jalan raya di pintu masuk kawasan Sungai Lui yang dikenakan PKPD bagi membawa penduduk ke Klinik Desa Sungai Lui untuk menjalani ujian saringan Covid-19 pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Covid-19: Satu kes baharu di Kampung Sungai Lui

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kes positif Covid-19 di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatatkan pertambahan satu kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah keseluruhan kes di kawasan berkenaan meningkat sebanyak 129 kes.

“Sebanyak 127 daripada kes positif yang dilaporkan adalah melibatkan pelajar madrasah tahfiz,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagi kawasan luar Kampung Sungai Lui, Dr Noor Hisham berkata ada peningkatan tiga kes baharu, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 312 kes.

Dalam isu berkaitan, beliau berkata tiada pertambahan kes di Menara Plaza City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur dan Malayan Mansion.

“Bagaimanapun, terdapat satu kes baharu melibatkan Selangor Mansion menjadikan keseluruhan 84 kes,” katanya.


Pengarang :