Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 di kaunter pandu lalu Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 28 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Sepang catat 43 kes, zon merah di Selangor kini lima

SHAH ALAM, 6 APRIL: Zon merah di Selangor bertambah satu lagi hari ini selepas daerah Sepang mencatatkan 43 kes positif Covid-19.

Menurut angka di Twitter Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), empat daerah lain yang dikategorikan zon merah ialah Hulu Langat sebanyak 325 kes, Petaling (297), Klang (111) dan Gombak (107).

“Jangan keluar rumah sekiranya tiada keperluan. Jika perlu keluar, ambil langkah penjagaan diri yang betul. Bosan? Amalkan tips 4C,” kenyataan ringkas STFC dipetik.

Tips 4C merujuk kepada kawalan maklumat (control), ambil berat diri sendiri (care), sentiasa berhubung (connect) dan bertenang (calm).

Kenyataan itu turut diulang siar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang menyeru masyarakat meneruskan usaha memerangi Covid-19 dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Selangor merekodkan keseluruhan 970 kes, dengan lapan kematian setakat ini.

Kementerian Kesihatan menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.


Pengarang :