Selangorkini
Tiub ujian dengan label nama virus Corona dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Ubat antivirus baharu akan diperkenalkan – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 2 APRIL: Ubat antivirus baharu, Remdesivir, akan diperkenalkan untuk merawat pesakit Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima beberapa permohonan untuk membawa masuk ubat itu.

“Baru ada permohonan untuk membawa masuk ubat Remdesivir dan kita telah meluluskan satu dua permohonan. Insya-Allah kita akan perkenalkan ubat baharu ini untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini, hari ini.

Pada 28 Mac lepas, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata bekalan ubat Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan untuk merawat penyakit lain boleh digunakan dalam rawatan Covid-19.

Ditanya sama ada bilangan ujian Covid-19 yang telah dilaksanakan mencukupi setakat ini, beliau menjelaskan KKM memenuhi tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata WHO telah mengeluarkan satu laporan menyatakan sasaran kes positif daripada ujian dilakukan sepatutnya 10 peratus, dan Malaysia telah menunjukkan lebih tujuh peratus dalam kes positif berdasarkan ujian dilakukan.

“Kalau kita lihat ujian kita, sebanyak 43,462 sampel yang telah diambil dan kes yang positif ialah 3,116, bermakna kadar positif kes kita ialah 7.2 peratus, lebih kurang 10 peratus,” katanya.

Sebelum ini, pakar perubatan mendakwa Malaysia masih ketinggalan dalam ujian untuk Covid-19 walaupun terdapat peningkatan kes positif dua minggu lepas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kematian Covid-19 di Malaysia yang berada pada 1.6 peratus dianggap masih rendah jika dibandingkan kadar kematian global iaitu sekitar 4.5 peratus.

Dalam pada itu, beliau turut berkata isu kekurangan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) sudah diselesaikan namun KKM ketika ini menghadapi masalah untuk menghantar bekalan itu kepada pihak hospital dan klinik yang menggunakannya dalam merawat Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedang menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

“Kami (KKM) berharap dalam minggu ini isu pengagihan akan dapat diselesaikan, kita mempunyai masing-masing lebih 50,000 penutup hidung dan mulut serta PPE yang disumbangkan dan juga setengah juta penutup hidung dan mulut dari China contohnya.

“Banyak sumbangan yang kita terima dan isu ketika ini adalah kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu logistik untuk menghantar peralatan itu ke Sabah dan Sarawak contohnya,” katanya

Beliau mengulas soalan mengenai sama ada KKM menghadapi masalah pengagihan PPE kepada pihak hospital mahupun klinik kerana terdapat beberapa aduan daripada petugas barisan hadapan tidak memperoleh kelengkapan perubatan itu lagi.

– BERNAMA


Pengarang :