Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat Borhan Aman Shah mewakili ADN Selangor menyerahkan replika cek sumbangan Tabung Covid-19 Selangor kepada Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Wakil rakyat kerajaan, pembangkang sambut baik tambahan RM30,000

SHAH ALAM, 2 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan dan pembangkang menyambut baik tambahan RM30,000 yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, semalam.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata peruntukan kali kedua memudahkan wakil rakyat mengagihkan bantuan kepada golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

“Ramai yang bergaji harian kini terjejas pendapatan mereka kerana tidak dapat bekerja dan berniaga, maka golongan yang perlu dibantu semakin bertambah,” katanya.

ADN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi pula menyifatkan peruntukan tambahan itu satu keperluan kepada mereka dalam melancarkan gerak kerja membantu rakyat.

“Kami boleh menggunakannya untuk menyalurkan bantuan dengan segera ketika saat-saat getir seperti ini,” katanya.

Ketua Pembangkang Rizam Ismail turut menyambut baik perkara tersebut, namun mahu Kerajaan Negeri melancarkan prosedur dan memastikan ia dinikmati semua wakil rakyat.

“Inilah masa kita bersolidariti tanpa mengira fahaman politik kerana tujuan akhirnya untuk memastikan nasib rakyat terjamin,” katanya yang turut menyokong pemotongan gaji ADN untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 Selangor.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua bagi menangani dampak Covid-19 berjumlah RM272.5 juta.


Pengarang :