AGENDAEKONOMI

Dagangan minyak mentah kelam-kabut, ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Ringgit dibuka rendah hari ini berikutan sesi dagangan kelam-kabut di pasaran minyak mentah dalam tempoh semalaman yang menyaksikan niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) merosot di bawah AS$0 buat kali pertama dalam sejarah.

Pada 9.01 pagi, ringgit susut kepada 4.3780/3880 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3770 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) untuk serahan Mei 2020 didagangkan pada -AS$40.32 setong.

“Kemerosotan permintaan yang besar ini menyebabkan paras penepuan simpanan meningkat, sehingga memaksa penjual membayar pembeli untuk membeli komoditi bagi serahan Mei itu.

“Sekiranya harga minyak mentah masih mengalami tekanan, seperti yang dijangkakan, ini meningkatkan lagi risiko penurunan lebih besar bagi ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Malaysia, sebagai pengeksport bersih minyak mentah dan produk petroleum, sangat bergantung kepada pergerakan harga komoditi ini.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding yen kepada 4.0631/0728 daripada 4.0587/0663 ketika ditutup pada Isnin serta turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0772/0860 daripada 3.0751/0811.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4432/4574 daripada 5.4524/4616 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.7528/7649 daripada 4.7550/7644.

– BERNAMA


Pengarang :