Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar Pasar Kajang pada 19 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Data Covid-19 bongkar peniaga aktif di Selangor

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri mendapati hanya 51,000 daripada keseluruhan 80,000 peniaga berlesen masih aktif menjalankan perniagaan di Selangor berdasarkan data berkaitan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dikesan ketika memperincikan bentuk bantuan sesuai dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

“Saya dapat angka 16,584 peniaga akan terkesan kalau diambil daripada jumlah (pemegang) lesen tahun lepas bukan sahaja bazar Ramadan ada juga peniaga bazar hari raya. Saya kira ini harus ditangani Kerajaan Negeri,” katanya ketika wawancara dalam program Agenda Awani, malam ini.

Menerusi fasa pertama bantuan, Kerajaan Negeri memutuskan pengecualian sewa kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama serta pemberian khas sekali bayar RM500 dengan kos keseluruhan RM52 juta.

Selain itu, penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada 40,000 peminjam Hijrah Selangor dengan kos ditanggung berjumlah RM70 juta.


Pengarang :