AGENSISELANGOR

Denggi: Statistik tinggi, waspada ancaman semasa PKP

SHAH ALAM, 4 APRIL: Masyarakat digesa berwaspada dengan ancaman denggi yang masih tinggi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua penolong pengarah Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Selangor.

Dr Mohammad Nazarudin Bahari berkata setiap masyarakat berperanan menghapuskan tempat pembiakan Aedes sambil mengekalkan langkah berjaga-jaga mengekang penularan Covid-19.

“Tiada fakta sains menunjukkan PKP boleh menurunkan kes denggi kerana terdapat banyak nyamuk di dalam dan sekeliling rumah, jadi amalan pembersihan persekitaran perlu dilakukan setiap minggu

“Pemilik kediaman perlu meningkatkan penggunaan semburan aerosol di dalam rumah dan meletak ubat jentik-jentik di dalam pasu bunga, bekas menyimpan air serta pam tandas,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata kes denggi di Selangor menurun dan tiada kematian dilaporkan sehingga bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh PKP untuk membersihkan halaman rumah.


Pengarang :