Petugas kesihatan membuat ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk Flat PKNS Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 2 April 2020 susulan laporan kes positif jangkitan di kawasan itu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Dzulkefly: Patuhi PKP, jaga kebersihan bagi ‘landaikan keluk’ wabak

SHAH ALAM, 2 APRIL: Rakyat negeri ini diseru mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dan menjaga kebersihan diri bagi melandaikan keluk pandemik Covid-19 dengan segera.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata langkah itu susulan Selangor mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di seluruh negara setakat ini.

“STFC memandang serius situasi penyakit ini di Selangor yang meningkat sejajar faktor kepadatan penduduk, mewakili lebih 20 peratus daripada populasi kependudukan Malaysia,” kata pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu turut mengingatkan penduduk di empat daerah dalam zon merah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin tinggi mematuhi PKP.

Katanya, langkah pencegahan setempat melalui pihak berkuasa tempatan juga akan dibuat menggunakan sumber dan pasukan sokongan Kerajaan Negeri termasuk sukarelawan seperti dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 726 kes daripada 2,908 kes  di seluruh negara dengan empat daerah dikategorikan dalam zon merah iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

STFC ditubuhkan bagi memantau dan mencegah penularan Covid-19 di negeri ini, yang turut dianggotai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri.


Pengarang :