Penguat kuasa kastam Thailand menyemak dokumen orang ramai sebelum melalui sempadan masuk ke Malaysia di Narathiwat pada 1 April 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Dua rakyat Malaysia antara 53 kes baharu Covid-19 di Thailand

BANGKOK, 26 APRIL: Thailand mengesahkan 53 kes baharu Covid-19 termasuk 42 di Pusat Tahanan Imigresen Sadao di wilayah selatan Songkhla dan satu lagi kematian, menjadikan jumlah kes sebanyak 2,907 dan 51 kematian.

Daripada 42 kes itu, dua adalah rakyat Malaysia, 34 dari Myanmar, Vietnam (tiga) serta masing-masing satu dari Yemen, Kemboja dan India. Kesemua yang ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen.

Pemangku Ketua Polis Imigresen Sadao Kol Jen Mana Naktung berkata pada masa ini terdapat 115 pendatang termasuk kanak-kanak di pusat tahanan itu.

“Kami menjalankan pencarian kes aktif di pusat tahanan ini. Kesemua tahanan menjalani ujian Covid-19. Pada masa ini, 42 kes diuji positif.

“Kami masih menunggu keputusan ujian tahanan yang lain,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi dari sini semalam.

Pusat pemeriksaan Imigresen Sadao diarahkan tutup dari 22 hingga 29 April selepas sekurang-kurangnya empat anggotnya diuji positif Covid-19.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pasukan perubatan telah memberikan rawatan kepada kesemua 42 pesakit di Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki warga Thailand berusia 48 tahun yang dijangkiti virus itu bersama empat lagi ahli keluarganya adalah kematian terbaharu yang dilaporkan.

Sehingga kini, beliau berkata, sebanyak 2,907 kes Covid-19 dilaporkan dengan 2,547 kes telah pulih dan dibenar keluarhospital manakala 309 lagi masih berada di hospital. Kematian akibat Covid-19 kini mencecah 51 orang.

“Pihak berkuasa akan terus menjalankan pencarian kes aktif di kawasan sasaran termasuk komuniti pendatang dan pusat tahanan imigresen,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

Thaweesilp berkata Thailand menambah lima negara jiran – Indonesia, Malaysia, Laos, Kemboja, Myanmar – dalam senarai Zon Jangkitan Penyakit pada 23 April untuk menguruskan secara berkesan pergerakan orang ramai dan membawa mereka ke kemudahan kuarantin ketika wabak Covid-19 ini.

Enam lagi negara dan wilayah dalam senarai itu ialah Korea Selatan, China, Macau, Hong Kong, Itali dan Iran.

– BERNAMA


Pengarang :