Ng Sze Han menyerahkan topeng muka sumbangan Nadma kepada penduduk. Foto Twitter Ng Sze Han
ADNSELANGOR

DUN Kinrara agih 132,500 topeng muka, tumpu kawasan kos rendah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima 132,500 helai topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada keluarga yang memerlukan.

Ahli Dewan Negerinya Ng Sze Han berkata setiap keluarga menerima empat topeng muka dengan tumpuan kepada keluarga yang tinggal di kawasan kos rendah dan sederhana.

“Kinrara adalah antara kawasan DUN terbesar di negara ini. Jumlah (topeng muka) diterima tidak mencukupi untuk diagih kepada 50 peratus isi rumah.

“Dalam keadaan sukar ini, saya mohon pengertian dan sokongan rakyat bahawa pusat khidmat saya mengutamakan pengedaran topeng muka kepada keluarga di kawasan kos rendah dan sederhana di DUN Kinrara,” katanya melalui hantaran di Twitter semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat yang memerlukan.

Bagi tujuan itu, sebanyak 10 juta bekalan topeng muka dibawa masuk dari China secara berperingkat dengan pengagihan kepada rakyat diuruskan oleh Nadma.


Pengarang :