Selangorkini
Haniza Talha. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

DUN Lembah Jaya kumpul peruntukan tiga pihak, selaraskan agihan

SHAH ALAM, 3 APR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya menggabungkan peruntukan yang diterima Dewan Undangan Negeri, ahli majlis dan pemimpin peringkat kampung sebelum diagih bagi mengelakkan penyaluran bertindih.

Haniza Talha berkata ketiga-tiga pihak mengumpulkan dana dari Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua secara bersama, kemudian menyelaraskan pengagihan kepada rakyat memerlukan.

“Dengan ini, jumlah peruntukan terkumpul adalah lebih besar dan senarai penerima juga tiada yang akan bertindih. Pihak kami akan selaraskan proses penyaluran bantuan makanan asas seterusnya,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata pakej tersebut yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntukkan DUN sebanyak RM30,000, ahli majlis (RM10,000) dan ketua kampung (RM5,000).

Rabu lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19, tambahan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor fasa pertama diumumkan pada 20 Mac berjumlah RM127.8 juta.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 14 April ini.


Pengarang :