Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita 23 tahun antara korban Covid-19, 121 pesakit keluar hospital

SHAH ALAM, 9 APRIL: Dua lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban akibat wabak itu meningkat kepada 67 kes setakat ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 121 pesakit pula pulih dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah sembuh 1,608 orang atau 38 peratus.

“Kes kematian ke-66 (kes ke-2,798) membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain.

“Mangsa juga mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Masjid di Seri Petaling, Kuala Lumpur sebelum dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020. Mangsa meninggal dunia pada 5 pagi, 9 April,” kata beliau pada sidang akhbar harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-67 (kes ke-2,864) pula membabitkan wanita warganegara Malaysia berumur 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

“Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 (iaitu kes ke-2,469 dan kes ke-2,470). Mangsa adalah  kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak dan bukan peserta persidangan tersebut.

“Wanita itu dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April jam 9.42 pagi,” katanya.

Noor Hisham berkata sebanyak 109 kes baharu turut dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan 4,228 kes.

Katanya, sebanyak 72 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 43 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.


Pengarang :