Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

E-bazar raya Selangor bersama Shopee bantu PKS, tawar insentif

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk baucar potongan harga untuk program e-bazar raya Selangor dengan kerjasama pengendali e-dagang terkemuka, Shopee, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro di Selangor memasarkan produk secara dalam talian selain menjana pendapatan ketika musim perayaan selepas terjejas akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata Shopee akan turut menyalurkan lebih daripada sejuta pakej dan ditambah dengan RM12 juta diumumkan sebelum ini untuk membantu usahawan berkaitan yang menjual menerusi landasannya sekali gus menyaksikan e-bazar raya Selangor menawarkan insentif tiga kali ganda kepada pembeli.

“Program ini juga memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan keperluan sempena musim perayaaan Aidilfitri seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan pelbagai pilihan serta murah.

“…Shopee Malaysia kini mempunyai 800,000 penjual aktif. Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak swasta yang berwibawa dan efisien demi mencapai tujuan membantu perusahaan PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata e-bazar ini akan berlangsung selama dua bulan bermula Mei hingga Jun depan dengan sasaran membantu 3,000 peniaga konvensional memiliki landasan e-dagang di samping 2,000 peniaga e-dagang sedia ada.

“Sepanjang program ini, Shopee akan menyediakan satu laman istimewa (microsite) untuk mempromosikan produk peniaga yang mengikutinya dengan menggunakan kaedah ‘livestream’, jualan mengejut (shocking sales), pemberian baucar dan penghantaran percuma bagi pembelian minimum RM19 dan ke atas,” katanya.

Peniaga yang berminat menyertai e-bazar raya Selangor bersama Shopee boleh mendaftar secara percuma di http://tiny.cc/selangorebazar


Pengarang :