Suasana sekitar e-kitchen Damansara, peniaga dan penunggang e-panggilan bertungkus-lumus menyiapkan dan mengantar juadah yang ditempah pelanggan. Foto Facebook CSR MBI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

E-bazar sudah buka di Bangi, Semenyih, Salak Tinggi, Shah Alam

SHAH ALAM, 30 APRIL: Penduduk negeri ini boleh mendapatkan pelbagai menu berbuka puasa menerusi e-bazar Ramadan di Bangi, Semenyih, Salak Tinggi dan Shah Alam.

Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor menerusi kenyataan di Instagram berkata juadah berkenaan boleh ditempah menerusi portal www.plats.com.my.

“Buat masa ini, kami beroperasi di empat lokasi dahulu. Ada lagi lokasi-lokasi lain yang kami akan maklumkan kemudian. Tunggu ya,” jelas kenyataan.

Sementara itu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata operasi e-bazar di bawah Grab dan Plats Selangor semakin lancar.

“Jualan semakin meningkat hari ke hari,” tulisnya di Twitter.

Beliau turut berkongsi rakaman video peniaga e-bazar yang gembira menjalankan perniagaan walaupun pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada 24 April, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menyediakan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah dengan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan.

Beliau mengumumkan dua saluran e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dengan juadah dihantar syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch

Pratempahan bermula 10 malam sehingga 1 tengah hari dan menerusi langkah ini peniaga mempunyai jumlah anggaran tempahan selain dapat mengurangkan pembaziran.


Pengarang :