Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

E-pembelajaran percuma bantu pelajar hadapi PKP

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri menawarkan program e-pembelajaran percuma kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima menerusi laman sesawang selangortutor.com, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aplikasi tersebut boleh diakses dengan mudah menggunakan pelbagai peranti seperti komputer dan telefon pintar bermula esok.

“Program ini digunakan sebagai salah satu kaedah untuk memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran murid terus kekal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lebih 130,000 soalan latih tubi tersedia dalam aplikasi ini dan ia mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia malah ibu bapa juga boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak dari semasa ke semasa.

Inisiatif hasil kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras program antara intipati Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan semalam.


Pengarang :