AGENSI SELANGOR

E-pembelajaran: Program Selangor Tutor dibuka kepada murid sekolah swasta

SHAH ALAM, 11 APRIL: Atas permintaan ramai portal e-pembelajaran percuma, Selangor Tutor kini dibuka kepada semua murid di Selangor termasuk sekolah swasta.

Yayasan Selangor berkata portal yang boleh diakses melalui laman sesawang selangortutor.com merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin sempena tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dibuka 3 April sehingga 31 Mei depan, portal lengkap dengan lebih daripada 130,000 soalan latihan itu kini mempunyai hampir 40,000 murid berdaftar.

“Portal Selangor Tutor ini yang mengandungi pembelajaran secara dalam talian bagi mata pelajaran murid Tahun 1 sehingga tingkatan 5 pada mulanya dibuka kepada sekolah milik kerajaan.

“Namun atas permintaan ramai, kini ianya dibuka kepada semua murid di Selangor termasuk yang belajar di sekolah milik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, sebarang masalah semasa pendaftaran atau penggunaan portal itu, pengguna boleh menghubungi pegawai Yayasan Selangor iaitu Encik Haziq (013-4016055) dan Encik Fauzani (019-2219321).

“Semua murid Tahun 1 sehingga tingkatan 5 serta para ibubapa di seluruh negeri ini diseru segera mendaftar dan mengunakan Selangor Tutor sebagai medium pembelajaran khususnya dalam tempoh PKP ini,” katanya.


Pengarang :