Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta orang ramai mengelak daripada menggunakan tiga produk kosmetik yang disahkan beracun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Elak sesak, jabatan kesihatan sedia khidmat hantar ubat pos

SHAH ALAM, 14 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos (UMP) bagi mengurangkan kesesakan di seluruh fasiliti kesihatan negeri itu.

Agensi kerajaan itu dalam kenyataan memaklumkan kos penghantaran menerusi perkhidmatan itu ditanggung sepenuhnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 5 April sehingga 30 Jun depan.

“Pesakit boleh menggunakan perkhidmatan tersebut secara percuma dan mereka boleh menghubungi pihak farmasi di fasiliti kesihatan untuk mendaftar,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

JKNS turut memaklumkan beberapa kriteria bagi melayakkan pesakit menyertainya seperti ubat berbentuk dos tablet atau kapsul dan ubat bukan jenis psikotropik.

“Ini termasuk ubat tidak memerlukan penyimpanan khusus dan pesakit yang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan KKM,” kata kenyataan itu.

Pada 7 April lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang diberikan rawatan ubat bagi penyakit kronik disaran menggunakan perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (VAS) sedia ada di fasiliti KKM meliputi UMP, farmasi pandu lalu, Locker4U dan sistem temu janji farmasi.

Katanya langkah itu bagi mengelakkan daripada terganggu selain mengekalkan jarak sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :