EXCOSELANGOR

EXCO bantu kempen beli buah-buahan dari Johor

SHAH ALAM, 26 APRIL: EXCO kerajaan tempatan menyeru warga Selangor membeli buah-buahan tempatan termasuk daripada peladang Johor bagi membantu mengurangkan lambakan hasil pertanian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ng Sze Han berkata produk segar dijual pada harga RM40 sekotak dengan pembahagian RM30 untuk peladang manakala bakinya sebagai caj penghantaran di sekitar Puchong.

“Mereka (peladang Johor) meminta bantuan saya dan kes ini sama seperti pekebun sayur di Cameron Highlands. Ketika krisis (Covid-19) kita cuba bantu semua pihak sebaik mungkin.

“Kita turut bersimpati mendengar keadaan mereka yang tidak dapat memasarkan hasil tanaman susulan PKP. Daripada dilupuskan, saya menyeru masyarakat Selangor untuk membantu membeli buah-buahan tempatan termasuk daripada peladang Johor,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata kempen `sokong peladang Johor dengan membeli buah-buahan tempatan segar’ di bawah pentadbiran Dewan Undangan Negeri Kinrara mendapat sambutan menggalakkan terutamanya di Puchong.

“Pada fasa pertama 200 kotak buah-buahan dari Johor terjual manakala tempahan fasa kedua 500 kotak juga sudah ditutup semalam sebelum ia dihantar pada 1 Mei ini,” katanya.

Bagi setiap pembelian, pelanggan akan mendapat enam jenis buah tempatan bergantung pada musim seperti jambu batu, pisang, tembikai susu, jagung manis, nenas dan betik.


Pengarang :