Tanaman cili yang diusahakan penduduk di Pangsapuri Bakawali, Hulu Selangor menerusi Program Laman Hijau 2.0 mula mengeluarkan hasil dan dijangka dituai pada Mei depan. Foto Facebook Haniza Talha
EXCOSELANGOR

EXCO: Laman Hijau 2.0 bantu tingkat hasil pertanian bermutu tinggi

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri mewujudkan Laman Hijau 2.0, sebuah program pertanian bandar khusus untuk penduduk di kawasan perumahan berstrata sebagai usaha meningkatkan hasil produk pertanian yang bermutu dan mempunyai nilai komersial di pasaran.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata program bermula tahun ini memilih lima pangsapuri kos rendah dan sederhana yang akan diberikan geran peruntukan sebanyak RM10,000 selain bimbingan serta latihan pertanian oleh Jabatan Pertanian.

“Ia berbeza dengan program versi awal kerana kali ini fokus supaya hasil pulangan lebih besar bagi membantu hal ehwal kewangan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan menampung perbelanjaan penyelenggaraan.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pula mencadangkan jenis tanaman yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran selain membantu daripada aspek ruang pasaran,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mengambil contoh Pangsapuri Bakawali, Hulu Selangor yang mengusahakan tanaman cili, ahli dewan negeri Lembah Jaya berkata penduduk di kawasan terbabit sempat menanam tumbuhan itu sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya sepanjang tempoh berkenaan, penduduk hanya memantau perkembangan tanaman tersebut dan selepas sebulan pokok cili mula mengeluarkan hasil dengan jangkaan dituai sekitar Mei depan.

“Justeru, saya berharap program ini akan membuahkan hasil yang baik, seterusnya dapat diperluaskan ke pangsapuri lain di seluruh Selangor.

“Pemilihan JMB akan dibantu oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB), jadi komitmen penduduk amat penting bagi menentukan kejayaan program ini,” katanya.


Pengarang :