Polis melakukan sekatan jalan raya di Kampung Sungai Lui, Batu 21 Hulu Langat pada 30 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan tersebut. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: NGO serah bantuan ke Sungai Lui perlu hubungi JKM

SHAH ALAM, 6 APR: Badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan diminta menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghulurkan bantuan di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia sebagai pemberitahuan kepada pegawai JKM negeri serta daerah sekali gus membolehkan pasukan pengiring disediakan untuk menghantar bantuan ke kawasan itu.

“Apabila diiringi pasukan pengiring seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), mudah mereka masuk menghantar bantuan ke kawasan dikhaskan.

“Kita faham semangat membantu di kalangan NGO, lebih-lebih lagi JKM mempunyai jadual padat menghantar keperluan dan kekuatannya terhad,” katanya dihubungi Selangorkini di sini hari ini.

Beliau mengulas permohonan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Batu 21 Kampung Sungai Lui, Mohd Razak Jalaludin yang meminta kerajaan melonggarkan syarat mewajibkan bantuan NGO kepada penduduk diserahkan kepada JKM terlebih dahulu.

Ia bagi mempercepatkannya kepada penduduk di Batu 21 hingga 24 Sungai Lui yang termasuk dalam PKPD bermula 30 Mac hingga 13 April depan.

Perintah itu dibuat selepas KKM mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah di Batu 23.


Pengarang :