Ng Sze Han bercakap kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Selangor Bil. 1/2020 di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
EXCOSELANGOR

EXCO: Selangor sokong batal operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selangor mengalu-alukan keputusan kerajaan melarang operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata keputusan sama turut diambil Kerajaan Negeri dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan orang ramai.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melakukan perkara sama di Selangor dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan hari ini menarik balik kelulusan membenarkan premis tersebut beroperasi selepas mendengar pandangan rakyat serta nasihat kumpulan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

Larangan tersebut antara tiga arahan terbaharu perdana menteri. Dua lagi adalah melarang penganjuran bazar Ramadan dan membatalkan keizinan pelajar pulang ke kampung masing-masing.


Pengarang :