AGENDA SUKANKINI

FAM, MFL sedia teruskan Liga-M pasca PKP

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sambil menjelaskan FAM dan MFL sudah mempunyai perancangan teliti termasuk untuk kesemua pertandingan di bawah kelolaan FAM antaranya saingan Piala Belia dan Piala Presiden yang ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac lepas.

Beliau berkata FAM dan MFL juga akan memperkenalkan tatacara operasi piawai (SOP) baharu yang perlu dipatuhi pasukan iaitu pemain serta pegawai pasukan wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak penyakit berjangkit itu.

“Kami hubungi semua anggota gabungan kami, mereka tahu kami bersedia dan mereka tahu kami mempunyai pilihan. Semuanya sudah bersedia tetapi seperti kebanyakan negara dan liga dunia, mereka tidak boleh nyatakan dengan tepat bila ia (saingan bola sepak) akan bersambung, mereka hanya boleh beritahu anda bila mereka mahu mulakan.

“Kami bersedia dari segi penjadualan dan SOP apa yang perlu dilakukan termasuk pemain dan pegawai perlu jalani ujian Covid-19 dan mengisytiharkan mereka tidak mempunyai kontak rapat dengan mereka yang dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menyentuh mengenai mekanisme saingan Liga-M pasca PKP, Stuart berkata kedua-dua entiti bola sepak negara itu telah merangka beberapa pelan mengambil kira jumlah pertandingan musim ini dan tempoh masa ideal diperlukan untuk melengkapkan satu-satu pertandingan.

“Berdasarkan perbincangan, kami juga telah sedia dengan jadual perjalanan liga jika ia disambung pada Jun, Julai ataupun Ogos. Tetapi perincian mengenai itu lebih baik MFL yang komen,” katanya.

FAM dan MFL memutuskan untuk menunda kesemua perlawanan Liga-M dan aktiviti bola sepak di negara ini berkuat kuasa 16 Mac, susulan penularan pandemik Covid-19, malah pasukan juga tidak dibenarkan mengadakan sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM sebagai badan induk bola sepak negara tidak mengambil pendekatan terburu-buru dalam memuktamadkan sesuatu keputusan terutama apabila ia melibatkan soal kesihatan dan keselamatan negara.

-BERNAMA


Pengarang :