Virus Covid-19 dikesan kali pertama di Wuhan, China, dilihat dalam ilustrasi yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada 29 Januari 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gambar Covid-19 penuhi ruang udara KLCC terima reaksi positif

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Tindakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memuat naik gambar bertindih virus Covid-19 memenuhi ruang udara KLCC di laman media sosialnya, iaitu twitter dan Facebook hari ini, menerima ribuan reaksi positif.

Beliau turut melontarkan soalan: “Jika anda dapat lihat virus Covid-19 menular dan terzahir seperti ini, adakah anda akan keluar rumah?”

Dr Noor Hisham Abdullah memuat naik gambar bertindih virus Covid-19 memenuhi ruang udara KLCC. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah

Gambar itu, yang turut diiringi kenyataan “Buat keputusan bijak. Duduk di rumah. Putuskan rantaian Covid-19” dikongsi lebih 6,600 pemegang akaun Facebook dan ditwit semula oleh 25,500 pemegang akaun Twitter dalam tempoh tiga jam ia dimuat naik.

Sejumlah 18,000 daripada 22,000 memberi reaksi menyukai kenyataan itu dengan 4,300 memberi tanda “love” dalam Facebook manakala lebih 19,000 menyukainya di Twitter.

Di Twitter, @PutriLea3 berkata dia tidak berani keluar walaupun Covid-19 tidak dapat dilihat manakala @adisofri berharap semua orang duduk di rumah supaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilanjutkan lagi.

“Fikirkanlah juga kepada mereka yang bekerja mencari rezeki secara harian. Jangan pentingkan diri. Ikut saranan,” katanya

@daksempoi500 pula berkata: “Terbaik DG. Kena lukis gambar juga baharu depa ini faham.”

Ramai turut mendoakan Dr Noor Hisham dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta petugas barisan hadapan sentiasa selamat, sihat dan dijauhi wabak Covid-19.

@abgirwan berkata: “I pray that Datuk Dr Hisham & team are well & safe. We are indebted to your for your fine services and sacrifice.

– BERNAMA


Pengarang :